LIMBANG: Bahagian Limbang telah mencapai 88 % pemberian vaksin dos kedua dan boleh diiktiraf sebagai sudah mencapai imuniti kelompok, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Haji Zohari Tun Abang Openg ketika bercakap pada sidang media pada penghujung lawatan kerja beliau ke sini hari ini.
Datuk Patinggi Abang Haji Zohari berpuashati dengan pencapaian tersebut dan menyatakan Bahagian Limbang seperti bahagian-bahagian lain sudah bersedia untuk beralih ke Fasa Ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Namun, infrastruktur Internet harus dipertingkatkan kerana perlaksanaan Fasa Ketiga menghendaki isyarat Internet yang lebih pantas supaya aplikasi Mysejahtera boleh dikemas kini oleh mereka yang sudah lengkap divaksin, khususnya sijil vaksin, ujar beliau.
Oleh itu, beliau telah mengarahkan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) untuk mempertingkatkan talian Internet terutamanya di Bahagian Limbang supaya rakyat lebih senang mengakses Internet.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan, Jawatan Kuasa Pengurusan Bencana Peringkat Bahagian Limbang dan para sukarelawan yang telah menjayakan program pemberian vaksin di Bahagian Limbang.
Beliau menyatakan sumbangan kerajaan untuk mendirikan makmal molekul bernilai RM1 juta di sini telah banyak membantu untuk mempercepatkan proses menguji sampel yang sebelum ini dihantar ke Miri atau Sabah.
Terdahulu sejurus tiba Datuk Patinggi Abang Haji Zohari melawat Pusat Pemberian Vaksin dan menyaksikan penyerahan secara simbolik Bakul Makanan sumbangan Majlis Pengakap Sarawak dan penyerahan bantuan Kredit Mikro oleh Agro Bank di Dewan Suarah, di sini.
Kemudian beliau telah diberi taklimat mengenai situasi COVID-19 dan program pemberian vaksin di Bahagian Limbang bertempat di Rumah Rehat Kerajaan di sini.
Taklimat juga disampaikan mengenai perkembangan pembinaan Tebingan Limbang Fasa 1 dan Fasa 2, dan Muzium Limbang.
Hadir bersama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Professor Dato Sri Dr. Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Dato Henry Sum Agong dan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Haji Hasbi bin Habibollah.
Turut hadir Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Dr. Abdul Rahman Ismail dan ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang.
Sumber dari : Sarawakku